Followers

Friday 20 July 2012

SIFAT-SIFAT MAZMUMAH

Semalam Seri kongsikan sifat-sifat mahmudah. Semoga apa yang diberi menjadi garis panduan untuk diri Seri Dan kekawan lain. Agak janggal juga jika Seri tak kongsikan pula sifat berlawanan mahmudah iaitu Mazmumah.

Sifat Mazmumah adalah sifat tercela. Menurut imam al-ghazali, antara sifat mazmumah adalah seperti berikut:

GEMAR MAKAN DAN MINUM
Terdapat hadis yang diriwayatkan daripada Nabi Muhammad saw yang bererti :

" Yang terlebih afdal pada Allah itu ialah orang yang banyak berlapar dan banyak tafakur. Dan yang terlebih benci kepada Allah itu ialah orang yang banyak makan, banyak tidur dan banyak makan"

Kenapa sedemikian? Kerana mereka yang selalu kekenyangan akibat gemar mkan dan minum akan terhindar daripada melakukan ibadah kerana sentiasa terdorong untuk tidur dan beristirehat.

BANYAK BERKATA-KATA YANG SIA-SIA
Sudah menjadi lumrah manusia suka bercakap yang siaisia, yang boleh ditakrifkan sebagai bencana lisan ialah mengumpat, menghina, berdusta dan bertengkar.

Firman Allah yang bermaksud:
" Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan daripada orang yang menyuruj( manusia) memberi sedekah, atau berbuat makruf atau mendamaikan antara manusia" - surah An-nisan :114

Malahan ada hadis Rasulullah saw yang bermaksud : Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, berkatalah yang baik atau diam sahaja.

MARAH
Sifat marah berpunca daripada kurang kesabaran dalam menghadapi sebarang keadaan. Orang yang bersikap sedemikian selalunya disorong oleh pengaruh syaitan yang ingin merosakkan iman dan dirinya
Seringkali orang pemarah ini mewarisi sifat-sifat seperti sombong, bongkak, tidak boleh ditegur dan lain-lain. Bagaimanapun, islam tidak melarang umatnya mempunyai sifat marah dalam hal-hal tertentu seperti firman Allah SWt yan bermaksud:

"Wahai Nabi, perangilah orang kafir dan orang munafik itu dan bersikap keraslah terhadap mereka" - surah al-Tahrim:9

HASAD, DENGKI DAN IRI HATI
Sifat-sifat ini lahir dari rasa kurang senang dengan nikmat yang dikecapi oleh orang lain lalu mengharapkan nikmat itu terhapus daripadanya. Terdapat hadis Rasulullah yang bererti:

"Hasad itu memakan kebajikan, sebagaimana api memakan kayu"

Firman Allah yang bermaksud:

"Sekiranya kamu mendapat kebaikan, nescaya mereka akan berasa kurang senang, tetapi apabila kamu mendapat kecelakaan, mereka bersuka ria kerananya" - surah Ali imran:120

Untuk mengelakkan perasaan hasad, dengki dan iri hati ini, seseorang itu perlu selalu mengamalkan sifat tawaduk, mengucapkan puji dan syukur kepada Allah atas nikmat yang dikecapi oleh saudara seislam kita. Mudah-mudahan kita juga akan dilimpahi Allah nikmat yang serupa kelak.

KASIH PADA HARTA
Tidak salahnya memiliki harta dan kemewahan hidup. Tetapi kemewahan yang membawa kepada sifat bakhil. Tamak haloba dan juga membazir dibenci oleh Islam.

Agama kita menuntut orang yang kaya dan berada menunaikan tanggungjawab kepada masyarakat seperti bersedekah, berzakat, dan membelanjanakan harta di jalan Allah. Firman Allah swt yang bermaksud:

"Hai orang beriman, janganlah kamu dilalaikan oleh harta kekayaanmu dan anak pinakmu daripada mengingati Allah. Sesiapa berbuat demikian. Maka tergolonglah mereka di kalangan orang yang rugi" - surah al-munafiqun:9

TAKBUR
Firman allah yang bermaksud:

" Apabila dikatakan padanya: Takutilah Allah. Ia lalu dipengaruhi oleh kemegahan (takbur) yang membawanya kepada dosa, cukuplah neraka jahanam (sebagai balasan)" - surah al-Baqarah : 206

Banyak sebab yang bolej membawa seseorang itu kepada sifat takbur atau menyombong diri. Antaranya sebab nasab keturunan, kuasa pemerintahan, kecantikan, kekayaan, kelebihan ilmu, banyak pengikut dan banyak ibadat.

Untuk menghindari sifat takbur ini, selalu mengamalkan sifat tawaduk atau rendah diri dengan membanyakkan pergaulan dengan semua peringkat ahli masyarakat dan melatih diri mendengar pandangan orang lain dalam segala hal.

RIAK
Riak ditakrifkan sebagai sifat untuk menari pandangan orang dengan menampakkan pelbagai amalan baik yang dilakukan semata-mata menginginkan pujian, pangkat atau kedudukan.

Sifat riak yang nyata seperti menunjuk-nunjuk dalam amal ibadah dan riak yang tersembunyi ialah beratnya hati seseorang untuk beramal apabila bersendirian tetapi akan berbuat demikian apabila orang lain yang menyaksikannya!

Terdapat hadis Rasulullah saw yang bererti:

"Serendah-rendah riak adalah syirik"

Rakan-rakan perlu berhati-hati supaya tidak bersifat riak dan sebaik-baiknya hendaklah membiasakan diri untuk merahsiakan segala amalan baik kita supaya tidak diketahui orang

Apakah perkara yang boleh membuatkan seseorang itu riak? Ianya adalah seperti mempertontonkan keindahan tubuh badan, pakaian, ucapan dan perlakuan.

UJUB
Sifat ujub pula berkait rapat dengan takbur dan riak. Ujub bererti berasa hairan dengan keistimewaan dan kelebihan diri sendiri. Ini juga berkait rapat dengan kelebihan dari segi kecantikan, kepandaian, kekayaaan dan lain-lain.

Sifat ujub boleh diatasi dengan sentiasa memikirkan bahawa tiada benda di dunia ini akan kekal.

Setiap sifat boleh ditimpa keuzuran atau penyakit suatu hari nanti, yang tinggi darjat keturunannnya tidak akan dinilai di sisi Allah selain takwa dan yang kaya pula boleh mengalami bencana-bencana seperti kecurian, penculikan dan sebagainya

Sentiasalah menghisab atau meneliti kekurangan diri sendiri ( muhasabah) sebagai hamba Allah akan melahirkan jiwa yang murni dan bebas daripada sifat-sifat tercela ini.

KASIH AKAN DUNIA
Hati yang sentiasa berpaut kepada kehidupan dan kesenenagan duniawi akan menyebabkan seseorang itu takutkan mati. Hakikat sebenar kehidupan dunia ini telah digambarkan oleh Allah swt dalam firmannya :

"Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia adalah permainan senda gurau, perhiasan, bermegah-megah antara kamu dan berlumbailumba dalam mengumpul harta kekayaan dan anak pinak" - surah al-Hadid: 20

Allah swt telah menjelaskan dalam firman-Nya yang lain, bahawa segala yang ijadikan di muka bumi ini adalah sebagai perhiasan dan cubaan kepada manusia untuk menilai baik buruknya amalan seseorang itu.

Seandainya insan itu mengenali hakikat kejadian dirinya dan mengenali rahsia dirinya dengan sebaik-baiknya, mengenali rahsia dan hikmah dunia ini sebagai tempat menimba bekalan takwa menuju akhirat, pasti kecintaan yang melampaui batas terhadap kehidupan dunia yang sementara ini akan terhapus

No comments:

Post a Comment